Tersebutlah al kisah seorang pengembara yang pergi mengembara seorang diri ke sebuah hutan belantara.

Sedang sang pengembara ini berusaha untuk meneroka seluruh hutan itu, tiba-tiba tersedarlah dia bahawa dia sedang diperhatikan oleh seekor singa. Maka, berlarilah sang pengembara itu sekuat hatinya, dengan harapan dapat melarikan diri daripada singa itu. Semakin dia berlari, semakin pantas singa itu mengejarnya. (kalo singa ni masuk olimpik, confirm menang nih..)

Sang pengembara berlari dan terus berlari, dan sang singa itu juga tak berputus asa mengejar bakal hidangan tengah harinya…Mengejar dan terus mengejar, berlari dan terus berlari…akhirnya sampailah sang pengembara itu ke suatu bahagian dalam hutan itu yang mana terdapat sebuah perigi di situ…

Tanpa membuang masa, dia pun masuklah ke dalam perigi itu dan berpaut pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu dengan harapan untuk berlindung dari singa yang kelaparan itu. Namun, sang singa yang gagal menangkap sang pengembara itu, masih tidak berputus asa menunggu mangsanya di luar perigi.

Di sebalik ketenangan yang dicari, sang pengembara terdengar bunyi kocakan air yang kuat dari bahagian bawah perigi itu, dia menoleh ke bawah dan alangkah terkejutnya dia, dua ekor buaya yang kelihatan sangat lapar sedang ‘menunggunya’ di bawah. Sang pengembara semakin berdebar. Keadaan sang pengembara ketika itu, sesuailah diibaratkan seperti terlepas dari mulut singa, masuk mulut buaya…

Dia terus bertahan pada tali yang terikat kemas pada mulut perigi itu. Tidak lama kemudian, muncullah seekor tikus hitam di mulut perigi itu, dan tikus itu pun menggigit tali yang menjadi tempat berpaut sang pengembara itu. Gigit dan terus menggigit hinggakan tali itu dirasakan sang penegembara seperti tidak selamat lagi untuk berpaut. Tidak cukup dengan itu, muncul pula seekor tikus putih menggantikan tempat tikus hitam tadi menggigit tali itu, bahkan mereka silih berganti cuba mengigit tali tersebut.

“Alahai tikus -tikus ni, dah la tali ni je harapan aku, kurang asam betulla,” rintih sang pengembara di dalam hatinya. Hati sang pengembara semakin cemas dengan situasi kritikal yang menimpa dirinya tika itu. Tiada apa yang mampu dilakukannya, selain berharap tali itu terus kukuh menampung bebannya.

Sedang sang pengembara menghadapi segala kekalutan yang menimpa dirinya, tiba-tiba muncullah sekawan lebah yang menitiskan setitik madu ke dalam mulut sang pengembara. Kerana manisnya madu yang hinggap pada deria rasa sang pengembara, dia lupa akan ancaman-ancaman yang sedang dia hadapi.
Lupa akan singa garang di luar perigi, lupa akan dua ekor buaya di dalam perigi, lupa akan tali yang menunggu masa untuk putus dek gigitan tikus putih dan hitam. Lupa akan NYAWA nya yang terancam hanya kerana setitis madu yang manis.

Bahawa sesungguhnya, cerita ini tiada ending…

Kerana bukan endingnya yang menarik di sini, sebaliknya watak -watak dalam kisah ini yang menjadi analogi kepada kehidupan manusia.

Sang pengembara merupakan lambang kepada manusia yang diutuskan ke alam ini. Meraka mengembara ke alam ini yg merupakan suatu persinggahan untuk memungut bekalan ke ‘negeri sana’.

Sang singa pula melambangkan ajal dan maut yang sentiasa mengejar kita. Semakin pantas manusia itu berlari di pentas kehidupan ini, semakin pantas dia mengejar kita, manakala dua ekor buaya yang menunggu sang pengembara di dasar perigi pula merupakan malaikat munkar dan nakir yang sentiasa menanti kita untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Tikus hitam dan tikus putih adalah simbol kepada siang dan malam yang silih berganti. Kehadirannya, menjadi penanda aras semakin singkat masa yang masih berbaki buat manusia dia dunia ini dan setitis madu yg masuk ke dalam mulut sang pengembara itu adalah nikmat dunia yang sedikit dan tidak bersifat hakiki namun setitik nikmat itu mampu mengalpakan sang pengembara itu tentang ancaman-ancaman yang setia menanti di hadapanya.

Kita sebagai manusia sentiasa tahu bahawa ajal dan maut sentiasa mengejar kita, pergerakan masa adalah indikator berkurang masa yang kita ada untuk terus beramal, namun nikmat dunia yang tidak seberapa itu, meragut keinsafan kita untuk terus mengumpul bekalan untuk dibawa ‘ke sana’.
Renung-renungkan dan selamat beramal!

0 comments:

Ramadan yg dinanti

Malaysia

New Zealand

Siapa Dia??

Siti Salwa Marzuki
Tahun ke-3
BSc. Chemistry
The University of Auckland

Mahu jerit?